Nahas: 6 remaja termasuk suami isteri maut
Posted by Rahmad Nadzri
KAMPAR 14 Okt. – Enam remaja termasuk sepasang suami isteri maut selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan merempuh dua batang pokok di Kilometer 30.1 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, kira-kira 3.5 kilometer dari sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, lima mangsa rentung di dalam kereta manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan parah ketika menerima rawatan di Hospital Kampar pukul 4.50 pagi ini.
Mangsa yang maut ialah Lim Ka Wai, 20; Yap Hing Long, 21; Soo Poi Wan, 18; Tang Wai Leong, 18; dan pasangan suami isteri, Wong Chee Keong, 23, dan Foo Siew Ling, 23.
Mereka terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan.
Bercakap kepada pemberita di Bilik Mayat Hospital Kampar hari ini, Ketua Polis daerah, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata, ketika kejadian, semua mangsa dalam perjalanan dari pekan ini menghala ke bandar raya Ipoh untuk bertemu rakan mereka.
Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta Honda City warna kelabu yang dipercayai dipandu laju oleh Ka Wai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebatang pokok.
“Akibat hentakan yang kuat, kereta itu terpelanting dan merempuh sebatang lagi pokok lalu terbakar.
“Lima mangsa rentung di dalam kereta manakala Siew Ling yang cedera parah di bahu, tangan dan rusuk kanan sempat ditarik keluar dan dihantar ke Hospital Kampar tetapi meninggal dunia semasa dirawat,” katanya.
Menurut Abdul Aziz, siasatan awal polis mendapati, kemalangan itu berlaku kerana kereta tersebut dipandu laju dan hilang kawalan.
“Polis mendapati jalan tersebut lurus dan keadaan cuaca juga baik semasa kejadian. Jadi, kita percaya kereta tersebut dipandu laju,” ujarnya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, suasana sedih menyelubungi kalangan rakan serta keluarga mangsa yang berada di pekarangan bilik mayat hospital sejak pagi ini.
Turut kelihatan ialah teman wanita Ka Wai dan bapa kepada Poi Wan yang tidak dapat menahan sebak dengan kejadian itu.
Teman wanita Ka Wai yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Fan berkata, teman lelakinya dalam perjalanan ke Ipoh untuk berjumpa dengannya semasa kemalangan itu berlaku.
“Kira-kira pukul 12.30 tengah malam, dia ada menghubungi saya memberitahu akan datang ke Ipoh untuk bertemu saya selepas pergi minum dengan rakan-rakannya.
“Sebelum itu, beberapa orang rakannya sudah menasihatkan dia supaya tidak pergi ke Ipoh kerana sudah terlalu lewat malam,” katanya sambil menangis.
Bapa Poi Wan, Soo Yau Fatt, 47, yang bekerja sebagai pemandu lori pula berkata, anaknya itu bekerja di sebuah restoran di sini selepas tamat tingkatan lima dan berhenti kerja tidak lama kemudian.
“Selepas itu, saya tidak tahu dia bekerja dan tinggal di Ipoh atau Kampar. Ini kerana kami sekeluarga tinggal di Kuala Lumpur dan saya pula hanya pulang ke rumah setiap dua minggu sekali.
“Kali terakhir Poi Wan menghubungi saya adalah pada Isnin lepas apabila dia bertanyakan bila saya mahu pulang ke rumah,” tambahnya.
Bapa saudara Chee Keong yang tidak mahu dikenali pula memberitahu, sebelum kejadian, anak saudaranya yang tinggal di sebelah rumah di sini keluar menghadiri majlis makan malam perkahwinan salah seorang rakan.
“Ibu Chee Keong yang tinggal dengan anak sulungnya di Johor sudah diberitahu mengenai kemalangan ini.
“Kami akan berbincang dengan keluarga isteri Chee Keong untuk mengkebumikan mereka bersama,” katanya. -UTUSAN
Post a Comment