VALENCIA – Javier Hernandez menjadi wira Manchester United kelmarin setelah jaringannya membantu Red Devils menewaskan Valencia 1-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Rembatan kencang penyerang Mexico itu ketika perlawanan berlangsung berjaya mengelirukan penjaga gawang Valencia, Cesar Sanchez untuk memperoleh gol pada minit ke-86 pada separuh masa kedua.
‘‘Saya rasa keputusan 1-0 adalah yang terbaik kepada kami kerana bukan mudah untuk berada di sini.
‘‘Kami mempunyai rekod beraksi dengan beberapa pasukan dari Sepanyol dan kebanyakannya tidak memihak kepada kami dan kemenangan tersebut adalah yang terbaik daripada pasukan kami,’’ kata pengurus United, Alex Ferguson.
United kini berada di tangga teratas kumpulan C dengan empat mata selepas terikat 0-0 pada perlawanan pembukaan menentang Rangers manakala Valencia kini berada di tempat ketiga dengan tiga mata
Tanpa penyerang Wayne Rooney yang masih belum pulih daripada kecederaan, Dimitar Berbatov terpaksa mengalas tanggungjawab menjadi penggempur untuk United pada perlawanan kelmarin.
Berbatov yang telah menjaringkan enam gol dalam Liga Perdana England musim ini, bermula dengan baik apabila cuba untuk melakukan jaringan pada minit keempat perlawanan bagaimanapun percubaan pemain itu sedikit tersasar.
Sementara itu, Valencia terpaksa menunggu 16 minit selepas itu untuk melakukan percubaan pertama melalui pemain Pablo Hernandez yang terkena palang gol.
‘‘Hernandez melakukan yang cukup baik untuk pasukan ini dan dia berjaya mengatasi pemain lawan dengan pergerakan yang baik sepanjang perlawanan ini,’’ jelas Ferguson.

Petikan Dari Utusan Malaysia