SYDNEY 21 Okt. - Seorang budak perempuan berumur enam tahun digantung daripada menggunakan bas sekolahnya selepas dia didakwa bertindak mengasari penumpang lain, seorang budak lelaki yang mengusik tudungnya.
Akhbar Northern Territory News melaporkan, budak perempuan itu menjadi marah apabila budak lelaki itu berulang kali menyuruhnya menanggalkan tudungnya dan dia bertindak balas dengan melondehkan seluar panjang budak lelaki berusia tujuh tahun itu.

Budak perempuan tersebut dilarang menaiki bas sekolah selama 10 hari dan ini bermakna dia tidak akan dapat berulang-alik dari rumah ke sekolahnya sejauh 60 kilometer di kawasan Outback, di utara negara ini.
"Dia baru berusia enam tahun. Ia mungkin agak sedikit kasar.
"Kami lebih suka jika dia diberi amaran, jadi kami boleh berbincang mengenai insiden ini, namun mereka menghalangnya daripada pergi ke sekolah," kata ibu kepada budak perempuan itu, Lorraine Gerassimopoulos.

Bapa budak perempuan itu ialah seorang imigran Iran.
Syarikat bas itu, Buslink yang mempertahankan tindakannya berkata, ia bersesuaian dengan peraturan kelakuan untuk pengangkutan sekolah Northern Territory kerana 'membuli dan mengganggu penumpang lain'.
Budak perempuan itu ketika menjelaskan tindakannya berkata, usikan itu 'membuatkan saya sedih dan pada masa yang sama berasa marah'.

Insiden itu berlaku selepas penggubal undang-undang New South Wales di Sydney menolak larangan ke atas pemakaian burqa. - AFP